Thursday, January 6, 2011

KEGAGALAN...ADALAH GURU TERBAIK!



Salam dan puji-pujian buat ALLAH S.W.T dan Nabi Junjungan kita..


Mari kita fikirkan. Dalam usaha kita mengejar kejayaan, kita akan tempuhi kegagalan. Selalunya, kegagalan dipandang negatif kerana ia membuat kita rasa sedih, marah, kecewa, sakit hati dan sebagainya. Namun, ramai antara kita tidak sedar bahawa kegagalan adalah guru yang terbaik.

Apabila kita gagal, kita akan lebih mudah ingat berbanding kita berjaya. Contohnya, bila kita gagal dalam peperiksaan, kita akan lebih ingat dan berhati-hati di masa akan datang.

Apa yang perlu kita sama-sama fikirkan ialah, disebabkan kegagalan adalah guru yang terbaik, kejayaan boleh menjadi sebab kejatuhan dan kegagalan kita.

Bagaimana pula?
Apabila kita sedang menuju kejayaan, kita akan mula mendapat kejayaan-kejayaan kecil. Kejayaan-kejayaan kecil ini jika tidak diberi perhatian yang betul akan membuat kita lupa dan bangga diri. Kita mula rasa kita lebih pandai daripada orang lain. Kita mula rasa kita yang paling hebat. Lebih menyedihkan, kita mula memandang rendah kepada orang-orang yang selama ini kita hormat kerana kita rasa kita lebih hebat daripada mereka.

Apa yang bahaya di sini ialah, apabila kita mula rasa kita lebih pandai, kita akan mula berhenti belajar. Apabila kita mula memandang rendah pada kebolehan orang lain, kita mula leka dan tidak sedar akan kelebihan mereka. Orang-orang yang kita pandang rendah ini juga akan sedar bahawa kita sedang memandang rendah kepada mereka dan mereka mula hilang rasa hormat kepada kita. Jadi, kita tidak akan dapat belajar apa-apa atau mendapat pertolongan apa-apa daripada mereka.

Apa yang penting ialah, pastikan kejayaan tidak membuat kita lupa dan leka. Pastikan kejayaan tidak membuat kita besar kepala dan lupa dari mana kita bermula. Lebih penting lagi, jangan risau jika asyik temui kegagalan kerana kegagalan adalah guru yang terbaik…… 


No comments:

Post a Comment