Friday, September 24, 2010

Puasa Enam Hari di bulan Syawal


Rasulullah SAW bersabda (yang artinya) : “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dan meneruskannya dengan enam hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) seolah-olah berpuasa selama setahun” (Hadis Riwayat Imam Muslim. Kitab Puasa).


Puasa enam hari dalam bulan Syawal mempunyai beberapa hikmah yang tertentu dari sudut kesihatan. Puasa selama sebulan penuh di bulan Ramadhan menyebabkan sistem percernaan di dalam badan beristirehat seketika di waktu siang selama sebulan. Kedatangan bulan Syawal menyebabkan seolah-olah ia mengalami kejutan dengan diberikan tugas mencerna pelbagai makanan pada hari raya dan hari-hari seterusnya. Oleh kerana itu, puasa enam ini memberikan ruang kembali kepada sistem pencernaan badan untuk beristirehat dan bertugas secara berangsur-angsur untuk kebaikan jasmani.

Di antara persoalan yang sering timbul tentang puasa enam ialah adakah harus menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa qadha dan puasa enam hari di bulan Syawal. Adakah dianugerahkan dengan kedua-dua pahala tersebut atau puasa yang mana satu? Syeikh Atiyyah Saqr, mantan Ketua Lajnah Fatwa Al-Azhar ketika ditanya tentang persoalan ini menyatakan bahawa sudah cukup bagi seorang yang ingin melakukan puasa qadha dan puasa enam dengan berniat puasa qadha dibulan Syawal dan ia akan dianugerahkan dengan dua ganjaran sekaligus seandainya dia bertujuan demikian dengan syarat dia perlu mendahulukan niat puasa qadha terlebih dahulu. Ini adalah kerana puasa qadha adalah wajib sedangkan puasa enam adalah sunat.

Kebanyakan ulama Syafie berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qadha sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya, tetapi pahala yang diperolehi kurang daripada seorang yang berniat kedua-duanya. Di dalam kitab As-Syarqawi ‘Alat Tahrir yang ditulis oleh Syeikh Zakaria Al-Ansori dinyatakan bahawa jika seseorang berpuasa qadha yang tertinggal di bulan Ramadhan atau bulan selainnya atau puasa nazar atau puasa sunat yang lain di bulan Syawal, maka ia akan tetap diganjari dengan pahala puasa enam sekalipun ia tidak berniat bahkan jika ia tidak mengetahui sekalipun tentang puasa enam. Ini adalah kerana ia telah memenuhi maksud hadis Rasulullah SAW agar berpuasa di bulan Syawal. Namun, pahala yang diperolehi tentulah kurang daripada orang yang berniat kedua-duanya sekaligus. Beliau mengambil contoh solat tahiyyatul masjid. Jika seseorang memasuki masjid dan terus melakukan solat fardu bersama jemaah atau sendiri maka dia akan diganjari dengan dua pahala sekaligus iaitu bersama pahala solat tahiyyatul masjid. Ini adalah kerana maksud solat tahiyyatul masjid ialah seseorang bersolat begitu memasuki masjid sebelum ia duduk.

Persoalan selanjutnya, bagaimanakah jika seseorang khususnya wanita ingin berpuasa berasingan di antara puasa enam dan puasa qadha, yang manakah yang sewajarnya didahulukan? Adakah dalam hal ini kaedah mendahulukan yang wajib dipakai? Syeikh Jaafar Ahmad Tolhawi, salah seorang ulama al-Azhar, menyatakan, puasa enam seharusnya didahulukan kerana ia hanya boleh diamalkan di dalam bulan Syawal saja. Tambahan lagi, puasa qadha seseorang itu bebas melakukan di dalam waktu 10 bulan berikutnya sebelum tibanya bulan Ramadhan yang akan datang. Ini bertepatan dengan amalan Ummul Mukmin Aisyah RA yang berpuasa qadha di bulan Syaaban dan diakui oleh Rasulullah SAW dan dikira sebagai sunnah taqririyyah. Namun, jika ia menggabungkan kedua-duanya sekaligus, ia juga diharuskan.


No comments:

Post a Comment