Sunday, October 31, 2010

SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN NOV 2010

S


Pameran Literasi Bahasa PISMP JAN10

Pada 29/10/10, PISMP JAN 10 telah mengadakan pameran ABM untuk memenuhi sukatan pelajaran kursus WAJ3104 Literasi Bahasa. Pameran yang diadakan di Ruang Legar Aras 4 telah dijayakan dengan kerjasama semua kelas PISMP JAN 10. Pameran berlangsung selama 3 jam setengah bermula pada pukul 8.00 pagi dan tamat pada pukul 11.30 pagi. 


 Tapak pameran Kelas PISMP 2.04


ABM boneka Kelas PISMP 2.03


Macam-macam ABM ada di Kelas PISMP 2.06

 Waktu menyanyi bersama Kelas PISMP 2.05

 ABM bentuk topeng pun ada di Kelas PISMP 1.01

Siap gantung ABM tak cukup ruang nak letak. Ni ABM kelas PISMP 2.02

Saturday, October 16, 2010

Sunday, October 10, 2010

Pesanan Rasulullah S.A.W

Rasulullah S.A.W telah bersabda bahawa, "Malaikat Jibril, Mikail, Israfil dan Izrail A.S. telah berkata kepadaku.

Berkata Jibril A.S. : "Wahai Rasulullah, barang siapa yang membaca selawat ke atasmu tiap-tiap hari sebanyak sepuluh kali, maka akan saya bimbing tangannya dan akan saya bawa dia melintasi titian seperti kilat menyambar."

Berkata pula Mikail A.S. : "Mereka yang berselawat ke atas kamu akan aku beri mereka itu minum dari telagamu."

Berkata pula Israfil A.S. : "Mereka yang berselawat kepadamu akan aku sujud kepada Allah S.W.T dan aku tidak akan mengangkat kepalaku sehingga Allah S.W.T mengampuni orang itu."

Malaikat Izrail A.S pula berkata : "Bagi mereka yang berselawat ke atasmu, akan aku cabut roh mereka itu dengan selembut-lembutnya seperti aku mencabut roh para nabi-nabi."

Monday, October 4, 2010

Muslimah MEMANG TAK GUNA


1. Perempuan yang bergelar muslimah itu MEMANG TAK GUNA kain yang nipis untuk membuat bajunya, sehingga terbayang kulitnya. Kerana dia tahu, bahawa pakaian seperti itu adalah pakaian yang layak dipakai oleh perempuan jalang.

2. Perempuan yang mengakui dirinya beragama islam MEMANG TAK GUNA rantai kaki yang berloceng untuk dililitkan pada kakinya. Rantai ini apabila dipakai walaupun tersembunyi tetap berbunyi dan menarik perhatian orang lain lebih-lebih lagi lelaki jahat. Dia tahu sekiranya dia memakainya juga dia telah melanggar larangan Allah dalam ayat 31 surah An- Nur.

3. Perempuan yang mengakui dirinya ana muslimah MEMANG TAK GUNA minyak wangi yang baunya semerbak. Sabda Nabi bahawa wanita yang keluar rumah dengan memakai wangian adalah seperti pelacur. Bukan tidak boleh berwangi-wangi tetapi bersederhanalah memakai wangian tersebut.

4. Perempuan yang kuat pegangan islamnya MEMANG TAK GUNA kata- kata yang keji kerana dia tahu sesiapa sahaja yang bercakap perkara yang keji adalah mereka yang rendah akhlaknya. Lelaki atau perempuan yang bercakap menggunakan perkataan yang buruk adalah seperti sepohon pokok yang rosak akar tunjangnya. Dia tahu bahawa perumpamaan perkataan yang baik dan buruk dinyatakan dengan jelas dalam ayat 24-26 surah Ibrahim.

5. Perempuan muslimah MEMANG TAK GUNA masa berborak untuk mengatakan hal-hal orang yang disekitarnya atau dengan kata lain mengumpat, memperkatakan keabaian saudaranya. Dia tahu bahawa sekiranya orang yang suka mengumpat baik lelaki atau perempuan dia seolah-olah memakan daging saudaranya sendiri.

6. Perempuan yang berpakaian berdasarkan syariat islam MEMANG TAK GUNA tudung yang apabila memakainya ternampak bentuk depan pada badannya. Sememangnya ia menjadi tatapan mata lelaki yang jahat yang terkena panahan syaitan. Dia tahu apabila bertudung, dia mesti melabuhkan tudungnya sehingga menutup alur lehernya dan tidak menampakkan bentuk di bahagian dadanya.


7. Perempuan yang memahami etika dalam islam MEMANG TAK GUNA lenggok bahasa yang boleh menggoda seorang lelaki. Jika bercakap dengan lelaki yang bukan mahramnya, bercakaplah dengan tegas. Sememangnya suara perempuan bukanlah aurat, jika aurat maka Allah tidak akan menjadikan perempuan boleh berkata-kata. Bertegaslah dalam percakapan, jangan gunakan suaramu untuk menarik perhatian lelaki sehingga menjadi fitnah buatmu. "Maka janganlah kamu tunduk dlm berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dlm hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik". 'Tunduk' di sini ditafsirkan sbg berbicara dgn sikap yang boleh menimbulkan keberanian orang untuk bertindak jahat kpd mereka. "Penyakit dlm hati" adalah keinginan seorang lelaki untuk melakukan perbuatan sumbang dengannya seperti berzina.

8. Perempuan yang menjaga maruah islam MEMANG TAK GUNA alat make-up untuk menonjolkan kejelitaannya melainkan di hadapan suaminya sahaja. Jika ingin keluar, dia memakai make-up secara bersederhana sahaja sehingga tidak jelas kelihatan pada wajahnya dia bersolek. Jangan bersolek sehingga cantiknya anda sehingga kadang-kadang  wajah anda menjadi seperti hantu.

9. Perempuan islam MEMANG TAK GUNA kain tudung yang jarang-jarang seperti jarangnya jala yang digunakan untuk memukat haiwan akuatik. Kerana apabila memakai tudung seperti itu akan nampak juga bahagian yang sepatutnya ditutup rapi dari pandangan orang lain.

10. Jadilah perempuan islam & muslimah yang B E R G U N A

Saya percaya bahawa apabila anda mula-mula membaca tajuknya, anda tersangat tidak bersetuju. TAPI MEMANG BETUL KAN!

Friday, September 24, 2010

Puasa Enam Hari di bulan Syawal


Rasulullah SAW bersabda (yang artinya) : “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dan meneruskannya dengan enam hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) seolah-olah berpuasa selama setahun” (Hadis Riwayat Imam Muslim. Kitab Puasa).


Puasa enam hari dalam bulan Syawal mempunyai beberapa hikmah yang tertentu dari sudut kesihatan. Puasa selama sebulan penuh di bulan Ramadhan menyebabkan sistem percernaan di dalam badan beristirehat seketika di waktu siang selama sebulan. Kedatangan bulan Syawal menyebabkan seolah-olah ia mengalami kejutan dengan diberikan tugas mencerna pelbagai makanan pada hari raya dan hari-hari seterusnya. Oleh kerana itu, puasa enam ini memberikan ruang kembali kepada sistem pencernaan badan untuk beristirehat dan bertugas secara berangsur-angsur untuk kebaikan jasmani.

Di antara persoalan yang sering timbul tentang puasa enam ialah adakah harus menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa qadha dan puasa enam hari di bulan Syawal. Adakah dianugerahkan dengan kedua-dua pahala tersebut atau puasa yang mana satu? Syeikh Atiyyah Saqr, mantan Ketua Lajnah Fatwa Al-Azhar ketika ditanya tentang persoalan ini menyatakan bahawa sudah cukup bagi seorang yang ingin melakukan puasa qadha dan puasa enam dengan berniat puasa qadha dibulan Syawal dan ia akan dianugerahkan dengan dua ganjaran sekaligus seandainya dia bertujuan demikian dengan syarat dia perlu mendahulukan niat puasa qadha terlebih dahulu. Ini adalah kerana puasa qadha adalah wajib sedangkan puasa enam adalah sunat.

Kebanyakan ulama Syafie berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qadha sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya, tetapi pahala yang diperolehi kurang daripada seorang yang berniat kedua-duanya. Di dalam kitab As-Syarqawi ‘Alat Tahrir yang ditulis oleh Syeikh Zakaria Al-Ansori dinyatakan bahawa jika seseorang berpuasa qadha yang tertinggal di bulan Ramadhan atau bulan selainnya atau puasa nazar atau puasa sunat yang lain di bulan Syawal, maka ia akan tetap diganjari dengan pahala puasa enam sekalipun ia tidak berniat bahkan jika ia tidak mengetahui sekalipun tentang puasa enam. Ini adalah kerana ia telah memenuhi maksud hadis Rasulullah SAW agar berpuasa di bulan Syawal. Namun, pahala yang diperolehi tentulah kurang daripada orang yang berniat kedua-duanya sekaligus. Beliau mengambil contoh solat tahiyyatul masjid. Jika seseorang memasuki masjid dan terus melakukan solat fardu bersama jemaah atau sendiri maka dia akan diganjari dengan dua pahala sekaligus iaitu bersama pahala solat tahiyyatul masjid. Ini adalah kerana maksud solat tahiyyatul masjid ialah seseorang bersolat begitu memasuki masjid sebelum ia duduk.

Persoalan selanjutnya, bagaimanakah jika seseorang khususnya wanita ingin berpuasa berasingan di antara puasa enam dan puasa qadha, yang manakah yang sewajarnya didahulukan? Adakah dalam hal ini kaedah mendahulukan yang wajib dipakai? Syeikh Jaafar Ahmad Tolhawi, salah seorang ulama al-Azhar, menyatakan, puasa enam seharusnya didahulukan kerana ia hanya boleh diamalkan di dalam bulan Syawal saja. Tambahan lagi, puasa qadha seseorang itu bebas melakukan di dalam waktu 10 bulan berikutnya sebelum tibanya bulan Ramadhan yang akan datang. Ini bertepatan dengan amalan Ummul Mukmin Aisyah RA yang berpuasa qadha di bulan Syaaban dan diakui oleh Rasulullah SAW dan dikira sebagai sunnah taqririyyah. Namun, jika ia menggabungkan kedua-duanya sekaligus, ia juga diharuskan.


Friday, August 27, 2010

2nd PBS

Pada 19/08/10 di Dewan Idris Al-Marbawi, tepat pada pukul 2.30 petang, pelajar PISMP JAN 2010 telah diberi taklimat Pengalaman Berasaskan Sekolah Semester Ke-2 yang akan bermula pada 29/8/10 hingga 2/9/10 bagi yang menjalani PBS di sekolah-sekolah di Negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah. Manakala, pelajar yang memilih sekolah-sekolah di negeri selain Kelantan, Terengganu dan Kedah akan menjalani PBS bermula 30/8/10 hingga 3/9/10. Selamat ber'PBS' diucapkan. Diingatkan pada 31/8/10 iaitu pada hari selasa adalah cuti sekolah sempena Hari Kemerdekaan Ke-53, 1Malaysia: Menjana Transformasi.   

Wednesday, August 18, 2010

Siapakah Kita


Siapakah orang yang sibuk?
Orang yang sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman a.s.

Siapakah orang yang manis senyumannya?
Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang ditimpa musibah lalu dia kata 'Inna lillahi wainna illaihi rajiuun.' Lalu sambil berkata,'Ya Rabbi Aku redha dengan ketentuanMu ini', sambil mengukir senyuman. 

Siapakah orang yang kaya?
Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak lupa akan kenikmatan dunia yang sementara ini. 

Siapakah orang yang miskin?
Orang yang miskin adalah orang tidak puas dengan nikmat yang ada sentiasa melonggok-longgokkan harta. 

Siapakah orang yang rugi?  
Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikan. 

Siapakah orang yang paling cantik?
Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak yang baik. 

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling luas?
Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati membawa amal-amal kebaikan di mana kuburnya akan di perluaskan saujana mata memandang. 

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang sempit lagi dihimpit?
Orang yang mempunyai rumah yang sempit adalah orang yang mati tidak membawa amal-amal kebaikkan lalu kuburnya menghimpitnya. 

Siapakah orang yang mempunyai akal?
Orang yang mempunyai akal adalah orang-orang yang menghuni syurga kelak kerana telah mengunakan akal sewaktu di dunia untuk menghindari seksa neraka.

Siapakah orang yang kedekut?
Orang yang kedekut ialah orang yang mendapat sesuatu pengajaran/peringatan dalam hidup tetapi tidak menyampaikannya kepada orang lain.

Saturday, August 14, 2010

Seorang bernama "Muslimah"

1. Seorang wanita solehah adalah lebih baik daripada 70 orang wali.

2. Seorang wanita solehah adalah lebih baik daripada 70 lelaki soleh.

3. Seorang wanita yang jahat adalah lebih buruk daripada 1,000 lelaki yang jahat.


(Wanita itu adalah hiasan dunia,sebaik-baik hiasan itu adalah wanita solehah)
Bagi wanita yang menjaga auratnya dengan berpakaian mengikut ketetapan yang telah ditetapkan oleh Islam, maka ia telah menjaga dirinya dari fitnah pandangan lelaki bukan mahram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal

Berfesyenlah seperti yang dikehendaki oleh Islam, jangan gadaikan diri anda kelembah dosa dan noda disebabkan fesyen yang tidak mengikuti syariat Islam. Jadilah wanita yang solehah (wanita muslimah) dengan berpakian dan berakhlak mulia.

Seorang Muslimah akan:

Menutupi had aurat yang sudah ditetapkan.

Ulama bersepakat mengatakan aurat bagi wanita baligh ialah seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan. Oleh itu, mereka wajib menutup aurat daripada dilihat oleh lelaki ajnabi (bukan mahram).

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah mereka (wanita) menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.” (Surah al-Nur, ayat 31)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (ketika mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Ahzab, ayat 59).

Pakaian yang longgar.

Tujuan utama wanita diwajibkan menutup aurat ialah untuk mengelakkan daripada lelaki ajnabi melihat tubuh badannya dan mengelakkan daripada berlakunya fitnah. Oleh itu, pakaian yang ketat walaupun tebal sudah pasti akan menampakkan bentuk tubuh badan.

Syarat ini berdasarkan kepada kata Dahiyyah bin Khalifah al-Kalbi yang bermaksud: “Rasulullah SAW didatangi dengan beberapa helai kain ‘qubtiyyah’ (sejenis kain yang nipis buatan Mesir), lalu Baginda berkata: “Bahagikan kain ini kepada dua, satu daripadanya dibuat baju dan bakinya berikan kepada isterimu.” Apabila aku berpaling untuk beredar Baginda berkata: “Dan suruhlah isterimu meletakkan kain lain di bawahnya (supaya tidak nampak bentuk tubuhnya).”

Menurut Ibn Rusyd, ‘qubtiyyah’ ialah pakaian yang tebal tetapi melekat pada badan kerana ianya ketat dan menampakkan bentuk tubuh pemakainya. Oleh itu, Rasulullah SAW menyuruh Dahiyyah menyuruh isterinya melapik pakaian itu dengan kain lain supaya tidak menampakkan bentuk tubuhnya.

Pakaian yang tidak jarang.

Aisyah meriwayatkan bahawa saudaranya, Asma, pernah masuk ke rumah Rasulullah SAW dengan berpakaian tipis sehingga nampak kulitnya. Rasulullah SAW berpaling dan mengatakan: “Hai Asma, sesungguhnya seorang perempuan bila sudah datang waktu haid, tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini sambil ia menunjuk muka dan kedua telapak tangannya.”

Teguran Rasulullah SAW terhadap Asma jelas menunjukkan bahawa pakaian yang jarang tidak memenuhi syarat menutup aurat bagi wanita baligh.

Bukan pakaian yang menarik perhatian (pakaian syuhrah).

Apa yang dimaksudkan pakaian untuk bermegah ialah pakaian yang berlainan daripada pakaian orang lain sama ada dari segi warna, fesyen atau potongan sehinggakan menarik perhatian orang lain serta menimbulkan rasa bongkak pada pemakainya.

Ibn Umar meriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa Baginda bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang memakai pakaian bermegah-megah maka Allah Taala akan memakaikannya dengan pakaian yang serupa pada hari kiamat kelak kemudian ia akan dijilat api neraka.”

Tidak menyerupai pakaian lelaki atau pakaian orang kafir.

Pakaian yang menutup tubuh badan tidak dikira sebagai memenuhi ciri pakaian Islam jika menyerupai pakaian orang kafir. Ia berdasarkan hadis Rasulullah SAW seperti diriwayatkan Ibn Abbas: “Rasulullah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.”

Larangan menyerupai pakaian orang bukan Islam ini atas alasan ia boleh menjatuhkan martabat Islam dan penganutnya.

Tidak bertabarruj.

Tabarruj dalam bahasa mudah boleh diertikan sebagai bersolek @ memperlihatkan kecantikannya yang sepatutnya wajib ditutup.

Larangan ini berdasarkan kepada firman Allah yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku (tabarruj) seperti orang jahiliah dulu (pertama).” (Surah al-Ahzab, ayat 33)

Konsep tabarruj jika dilihat dalam kerangka lebih luas meliputi perbuatan wanita mendedahkan aurat, memakai wangian apabila keluar rumah, cara berjalan atau tingkah laku yang menarik perhatian lelaki ajnabi.

Tuesday, August 10, 2010

Kesilapan Muslim dalam Bulan Ramadhan


1. Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam)
Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112).
Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. 

"Sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari)


2. Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam
Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)


3. Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain
Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam.  

Firman Allah ketika memuji orang mukmin, ertinya : " dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18)


 4. Menunaikan solat witir sejurus selepas terawih.
Menurut dalil-dalil yang sohih, waktu yang terbaik bagi solat witir adalah penutup segala solat sunat di sesuatu hari itu.
 
"Jadikanlah solat sunat witir sebagai solat kamu yang terakhir dalam satu malam". (Fath al-Bari, no 936). 


5. Tidak menunaikan solat ketika berpuasa
Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang. Justeru, 'ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi 'kurus kering' pastinya.


6. Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih
Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, terutamanya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.


7. Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah
Malanglah mereka, jika niat utama seseorang itu (samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari.  

"Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)


8. Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa
Sedangkan, kerja yang kita lakukan dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya mengaktifkan diri mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini.


9. Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat
Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)

10. Menganggap waktu imsak sebagai 'lampu merah' bagi sahur
Waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah 'lampu amaran oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Waktu yang disepakatkan ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md 'Uqlah, hlm 278)


11. Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat
Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah semasa berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.


12. Memasuki Ramadhan dalam keadaan harta masih dipenuhi dengan harta haram, samada terlibat dengan pinjaman rumah, kad kredit, insuran, pelaburan dan kereta secara riba
Ini sudah tentu akan memberi kesan yang amat nyata kepada kualiti ibadah di bulan Ramadhan, kerana status orang terlibat dengan riba adalah sama dengan berperang dengan Allah dan RasulNya, tanpa azam dan usaha untuk mengubahnya dengan segera di bulan 'tanpa Syaitan' ini, bakal menyaksikan potensi besar untuk gagal terus untuk kembali ke pangkal jalan di bulan lain.
Nabi Muhammad menceritakan : Ertinya : menyebut tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit : Wahai Tuhanku…wahai Tuhanku… sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram..Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya. ( Riwayat Muslim, no 1015, 2/703 ; hadis sohih)



13. Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka
Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut..

"Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )
Selain itu, doa menjadi bertambah makbul tatkala ingin berbuka.

"Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih

Saturday, August 7, 2010

Nikmat@Ujian: Bersyukur@Mengeluh?

Bersyukurlah dengan apa yang dikurniakan kepada kita pada hari ini dan sebelumnya. Belum tentu kita ada esok untuk mensyukurinya.

 Allah telah berfirman bahawa nikmat yang dikurniakanNya memang tidak terhitung. Tetapi, kita sebagai hambaNya, adakah kita mensyukuri nikmat-nikmat itu?

"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." - (An-Nahl: 18)

Kita sering mendengar pelbagai keluhan dan kita sendiri mengeluh.


Ada sahaja yang kurang bagi kita. Ada sahaja yang kita hendak rungutkan. Tidak pernah cukup dengan apa yang kita ada. Lumrah manusia, merungut dah tidak berpuas hati dengan apa yang diperolehi. Tetapi mari kita sama-sama cuba fikirkan apa yang terjadi dan apa yang ada pada kita.
  • Kita merungut mendengar bunyi bising hari-hari, memang geram, sakit hati. Itu sebenarnya menandakan kita masih lagi mampu mendengar. 
    • Kita merungut pakaian yang kita pakai sudah ketat, kecik, tidak muat. Tetapi tidakkah kita bersyukur, baju itu sudah tidak muat kerana kita sebenaranya cukup makan. Allah memberi rezeki melimpah ruah.
    • Kita merungut untuk rumah yang kita kena bersihkan, mop lantai, lap tingkap, sapu rumah dan sebagainya hari-hari. Tetapi bersyukurlah kerana itu menandakan kita masih lagi mempunyai tempat tinggal untuk berlindung dari hujan dan panas.
    • Kita mengeluh otot-otot kita kejang, kita sakit-sakit badan buat kerja hari-hari. Tetapi, itu sebenarnya menandakan kita masih mempunyai kudrat untuk berkerja kuat mencari rezeki.
    • Kita merungut untuk kerenah anak-anak yang tidak menetu di rumah. Kadang-kadang kita rimas. Tetapi besyukurlah, sekurang-kurangnya mereka berada di rumah, bukan di jalanan berpeleseran.
    • Kita mengeluh kerana tempat letak kereta ke lif yang mungkin agak jauh. Tetapi sebenarnya kita perlu bersyukur kerana diberi nikmat masih mampu berjalan.
    • Kita mengeluh untuk timbunan pinggan mangkuk, pakaian yang perlu dicuci. Tetapi, itu menandakan kita sebenarnya memiliki semua itu untuk digunakan.
    • Untuk pagi-pagi yang selalu dikejutkan dengan jam loceng, kita merungut kemalasan. Tetapi itu menandakan kita sebenarnya diberi kesempatan untuk mengharungi hari sekali lagi.
     Ya Allah, sungguh banyak nikmat yang Kau berikan kepada kami. Tetapi mungkin kita yang tidak menyedarinya. Kita yang tidak mensyukurinya. Kita yang tidak pernah berpuas hati dengan nikmat itu.

    "Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, " Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat" - (Ibrahim:7)

    Allah menguji kita dengan pelbagai cara. Setiap nikmat yang Allah berikan itu juga adalah ujian bagi kita. Ada diantara kita yang sedar dan tahu,tetapi ada juga yang tidak.

    “Maka apabila manusia ditimpa bencana dia menyeru Kami, kemudian apabila Kami berikan nikmat Kami kepadanya, dia berkata, "Sesungguhnya aku diberi nikmat ini hanyalah kerana kepintaranku". Sebenarnya, itu adalah ujian, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahuinya” - ( Az-Zumar:49)

    Wednesday, August 4, 2010

    Perempuan Islam yang Cantik!



    • Jadikanlah Ghadhdul Bashar (menundukkan pandangan) sebagai "hiasan mata" anda, nescaya akan semakin bening dan jernih.
    • Oleskan "lipstik kejujuran" pada bibir anda, nescaya akan semakin manis.
    • Gunakanlah "pemerah pipi" anda dengan kosmetik yang terbuat dari rasa malu yang dibuat dari salon Iman.
    • Pakailah "sabun Istighfar" yang menghilangkan semua dosa dan kesalahan yang anda lakukan.
    • Rawatlah rambut anda dengan "Selendang Islami" yang akan menghilangkan kelemumur pandangan lelaki yang merbahayakan.
    • Hiasilah kedua tangan anda dengan gelang Tawadhu' dan jari-jari anda dengan cincin Ukhuwwah.
    •  Sebaik-baiknya kalung anda adalah kalung "kesucian".
    • Bedaklah wajah anda dengan "air Wudhu" nescaya akan bercahaya di akhirat.

    Sunday, August 1, 2010

    Ada Apa Dengan Solat Berjemaah?


    Orang muda selalu bercakap mengenai cinta. Ada apa dengan cinta? Cinta digambarkan sebagai perasaan yang membangkitkan semangat, lantaran bersatunya dua jiwa. Adapun kita bukan nak berbicara panjang tentang cinta orang muda. Namun, masih lagi berkait tentang cinta. Cinta yang lahir akibat mengikut petunjuk nabawi. Kemanisan yang dapat dikecapi dengan melazimi solat berjemaah.

    Lazimnya, apabila solat jemaah dilakukan, bahu si kaya dan si miskin bersentuhan, lutut anak muda bergesel dengan lutut si tua, tapak kaki orang besar bertemu rakyat biasa, justeru membangkitkan ikatan cinta persaudaraan yang penuh rahmah dan berpanjangan. Sememangnya telah didoakan oleh para malaikat atas orang yang berniat melakukan solat berjemaah dengan rahmah dari Allah. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. katanya,

    ''Rasulullah s.a.w. bersabda: Solat seorang lelaki dalam jamaah itu dilipat gandakan pahalanya melebihi solatnya di rumah secara bersendirian-munfarid-atau di pasarnya dengan dua puluh lima kali ganda'' (Muttafaqun 'Alaih).

    Bila mana kita tinjau teori fizik, kajian sains mendapati sentuhan yang berlaku antara tubuh kita dengan tubuh ahli jemaah yang lain yang berada di kiri dan kanan kita, akan menstabilkan kembali cas-cas yang diperlukan oleh tubuh. Ia berlaku apabila cas yang berlebihan-sama ada negatif atau positif akan dikeluarkan, manakala yang berkurangan akan ditarik ke dalam kita. Semakin lama pergeseran ini berlaku, semakin seimbang cas dalam tubuh kita. Semakin segar setelah melakukan solat berjemaah adalah nikmat dan rahmat bagi yang percaya dan menyerah diri kepada Allah.


    Solat itu tiang agama,
    Wajiblah kita menunaikannya,
    Saat disoal di akhirat sana,
    Solat itu yang utama.

    Teruskan usaha mengenal pencipta,
    Kemanisan iman nikmat tak terhingga,
    Moga istiqamah setiap masa,
    Kelak Allah beri balasannya.

    Friday, July 30, 2010

    Burung vs Cicak.


    Laporan Islam On Line 5 Januari 2006. Menteri Norway Boikot Barangan Israel. Menteri Kewangan Norway Kristin Halvorsen menyatakan . Sejak sekian lama saya tidak membeli barangan Israel dan saya menyokong kempen parti saya yang memboikot barangan dan perkhidmatan daripada Israel. Tujuan menteri tersebut memboikot barangan Israel ialah sebagai sokongan ke atas kebebasan hak rakyat Palestin, dan menentang polisi Israel yang melanggar hak asasi manusia.

    Seorang menteri bukan Islam dari negara barat memboikot barangan Israel! Bagaimana kita rakyat Malaysia atas perjuangan hak asasi manusia dan lebih-lebih lagi umat Islam di Malaysia ini atas nama saudara dalam Islam ?

    Mungkin tindakan kita tidak membeli barangan Israel yang harganya RM 1 - RM 1000 atau lebih tidak akan melemahkan negara Israel. Kita mungkin tidak dapat lari dari barangan Israel tapi kita boleh tinggalkan apa yang termampu untuk kita lakukan. Tidak semua perlu kita tinggalkan kerana ada yang penting untuk kita dan itu tidak salah kita berjual beli dengan orang yahudi kerana Rasulullah berurusan jual beli dengan orang yahudi. Tetapi selagi kita boleh boikot barangan Israel, kita perlu lakukan supaya kita boleh menjawab pertanyaan Allah di akhirat kelak tentang apa yang kita lakukan untuk agama Allah.Maka apa jawapan kita pada Allah kelak apabila ditanya.

    Ingat kepada kisah seekor burung kecil ketika Nabi Ibrahim dibakar hidup-hidup.


    Semasa Nabi Ibrahim dibakar oleh kaumnya, seekor burung kecil terbang berulang-alik mengisi air dalam paruhnya lalu menyiram ke atas api yang membakar. Itulah yang dilakukannya berulangkali. Tingkah lakunya diperhatikan oleh makhluk Allah yang lain lalu bertanya kepada burung kecil itu, "Buat apa kau penat-penat mengambil air berulang alik, sedangkan api yang membakar Nabi Ibrahim takkan terpadam dengan air yang kau siramkan itu?" Lalu dijawab oleh burung tersebut, "Memang ia tidak akan memadamkan api tersebut, tetapi aku lebih takut kepada Allah kerana Allah akan menyoal aku nanti, apakah yang aku lakukan untuk agama Allah, dan Allah tidak akan bertanya samada aku berjaya memadamkan api itu ataupun tidak."

    “AKU LAKUKAN INI KERANA INGIN BANTU NABI ALLAH IBRAHIM. AKU TAKUT DAN GERUN APABILA DI MAHSYAR NANTI ALLAH BERTANYA APA YANG TELAH AKU LAKUKAN. DAN SESUNGGUHNYA ALLAH TIDAK MELIHAT HASIL DARI APA YANG KITA LAKUKAN SEBAB SEMUA HASIL ITU ADALAH ANUGERAH ALLAH ATAS USAHA KITA.”

    Berikut ialah laman-laman web berkaitan isu Palestin :

    Laman web senarai barangan Israel yang perlu diboikot

    http://www.inminds.com/boycott-brands.html

    Laman web isu terkini Palestin dalam Bahasa Malaysia

    http://palestinkini.info/